Rabu, 30 Jun 2010

CARA MEMBACA TA'MIN SELEPAS MEMBACA SURAT AL-FATIHAH

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Ada 4 cara bacaan Ta'min iaitu ( ءامين ) Amin selepas membaca surah al-Fatihah sama ada di dalam atau luar solat;

1. Huruf Hamzah dibaca panjang 6 harakat inilah cara yang paling sahih.

2. Huruf Hamzah dibaca pendek iaitu 2 harakat,

3. Huruf Hamzah dibaca secara Imalah iaitu Amin dibaca Emin

4. Huruf Hamzah dibaca panjang dan huruf Mim pun dibaca dengan syaddah (sabdu).

Cara bacaan yang pertama dan kedua adalah masyhur di kalangan ulama. Cara ketiga dan keempat dihikayatkan oleh al-Wahidi di permulaan kitabnya Al-Basith. Saya secara peribadi suka beramal dengan cara yang pertama sama ada saya menjadi imam, makmum atau solat munfarid. Keterangan ini anda boleh rujuk di dalam kitab Terjemahan Al-Azkar Pilihan dari kalimat Rasulullah s.a.w, halaman 92, terbitan Pustaka Antara Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.

Saya menggalakkan umat Islam agar membeli kitab tersebut kerana ia mengandungi banyak faedah dan kebaikannya semoga kita benar-benar mengetahui berbagai hukum dan panduan menurut mazhab al-Syafi'iy. Wallahu a'lam.

Isnin, 28 Jun 2010

BUKU AJARAN SESAT TAIMIYAH, SALAFI DAN WAHABI

بسم الله الرحمن الرحيم
لا إله إلا الله محمد رسول الله فى كل لمحة ونفس عددما وسعه علم الله


Pada 22 Jun 2010 yang lalu, saya telah membeli sebuah buku bertajuk AJARAN SESAT Taimiyah, Salafi, Wahabi Jawapan Kepada Buku Rekod Merah AA Gym yang ditulis oleh Tengku Zulkarnain terbitan Pustaka Mujaddid.

Sepertimana yang sedia maklum umat Islam sejak dahulu sentiasa cuba dirosakkan oleh pihak yang tidak senang dengan ajaran Islam. Mereka sakit hati dan sentiasa mereka bermacam-macam tuduhan terhadap ahli sunnah waljamaah. Mereka juga mendakwa bahawa mereka adalah ahli sunnah waljamaah meskipun kenyataannya merekalah yang merosakkan aqidah tersebut dengan kaedah yang cukup halus, beracun dan sistematik sehingga mereka yang jahil dalam perkara agama mudah terpedaya.

Penulis cuba membongkar kepalsuan dan lakonan puak wahabi yang mendakwa merekalah yang benar-benar mengikit akidah dan amalan golongan salaf yang tidak melakukan bid'ah, khurafat dan syirik.

Saya mencadangkan agar semua umat Islam membeli dan membaca buku tersebut kerana banyak maklumat yang penting di dalam buku tersebut. Atau anda membaca buku 40 Masalah Agama, K.H Siradjuddin Abbas dan buku I'tiqad Ahli Sunnah Jama'ah oleh K.H Siradjuddin Abbas. Sesungguhnya umat Islam tidak akan rugi memliki buku-buku yang dinyatakan tadi demi memelihara aqidah kita daripada rosak dan sesat.

Sekarang di pasaran terdapat banyak buku agama dan majalah yang mengandungi ajaran atau fahaman Wahabi khususnya buku-buku yang diterbitkan di Indonesia seperti yang diterbitkan oleh Pustaka Imam Syafi'ie ( ini cara halus untuk mengelirukan dan memesongkan umat Islam agar terpedaya bahwa apa sahaja yang diterbitkan adalah berdasarkan mazhab as-Syafi'iy kerana mereka tahu penduduk Indonesia, Malaysia, Brunai, Singapura, Thailand adalah bermazhab Syafi'i ).

Apabila anda membeli buku-buku agama dan anda merasa hairan dengan isi kandungannya, maka rujuklah tuan guru atau ustaz. Ya Allah selamatkanlah kami, ahlimkeluarga kami dan umat Islam daripada menjadi mangsa kesesatan Wahabi yang berselindung disebalik nama Al-Quran, As-Sunnah, As-Salafi dan sebagainya.

Buku Ajaran Sesat, tulisan Tengku Zulkarnain tersebut boleh anda dapatkan di kedai-kedai buku atau hubungi 03-26947241 atau 012 2734511 ( Pustaka Mujaddid 47A, Tingkat 1, Jalan Raja Alang, 50300, Kuala Lumpur.

Perlu dinyatakan di sini bahawa saya tiada mempunyai apa-apa kepentingan atau kaitan dengan syarikat di atas, saya lakukan ini adalah kerana saya cintakan seluruh umat Islam dan mahu kesesatan mereka yang berfahaman Wahabi dapat diketahui umum. Wallahu a'lam.

DABIJA
29 Jun 2010

Khamis, 24 Jun 2010

KALIMAH YANG DIBACA SAMA ADA DENGAN SHAD ATAU SIN

بسم الله الرحمن الرحيم
لا إله إلا الله محمد رسول الله فى كل لمحة ونفس عددما وسعه علم الله

Dalam qiraat 'Ashim riwayat Hafsh dari thariq al-Syathibiyyah ada tiga hukum bagi kalimah-kalimah berikut sama ada dibaca dengan Shad atau Sin;

1. Kalimah و يبصط wajib dibaca dengan Sin menjadi ويبسط dalam ayat 245 surah al-Baqarah.

2. Kalimah بصطة wajib dibaca dengan Sin menjadi بسطة dalam ayat 69 surah al-A'raaf.

3. Kalimah بمصيطر wajib dibaca dengan Shad dalam ayat 22 surah al-Ghasyiyah.

4. Kalimah المصيطرون boleh dibaca dengan Shad atau Sin dalam ayat 37 surah al-Thur.

Sila dapatkan bacaan yang benar terus dari mulut guru ( musyafahah ) agar anda tidak melakukan kesalahan bacaan. Wallahu a'lam.

Jika anda tinggal sekitar Puchong, Selangor anda dijemput hadir ke kuliah mingguan atau bulanan di Masjid Bandar Bukit Puchong, Masjid Nurul Iman Kg Tengah Puchong, Surau As-Syakirin Tmn Puchong Utama, Surau At-Toyyibah Bandar Bukit Puchong dan Surau Tmn Desa Ayer Hitam. Hubungi saya untuk keterangan lanjut 013 2264264.

Rabu, 2 Jun 2010

BUKU TERBARU: AL-WIQAYAH


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
لا إله إلا الله محمد رسول الله فى كل لمحة ونفس عددما وسعه علم الله

Alhamdulillah, saya baharu sahaja selesai menyiapkan buku saya yang ke-5 yang berjodol الوقاية ( Al-Wiqayah) lebih kurang pada jam 11.00 pagi tadi ( 3.6.2010).

Buku saya yang inimengandungi pelbagai petua dan amalan untuk;

1. Orang yang sedang sakit jantung, darah tinggi, kencing manis, batu karang dll.

2. Orang yang ingin mengandung

3. Orang yang ingin sembuh dari sihir

4. Orang yang ingin perniagaannya laris

5. Orang yang ingin berjaya

6. Orang yang ingin ketenangan sanubari dll.

Di dalam buku tersebut saya juga mengijazahkan Hizb Al-Bahr dan Hizb An-Nawawi yang mana kedua-duanya mempunyai pelbagai khasiat dan kelebihan jika diamalkan setiap hari.

In sya Allah buku tersebut akan diterbitkan pada akhir Jun awal Julai 2010. Jika anda berminat memilikinya sila hubungi saya terus 013 2264 264 atau isteri saya Ustazah Muslihah 013 291 7767 atau 03-33927435 ( Rumah ).