Rabu, 30 Jun 2010

CARA MEMBACA TA'MIN SELEPAS MEMBACA SURAT AL-FATIHAH

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Ada 4 cara bacaan Ta'min iaitu ( ءامين ) Amin selepas membaca surah al-Fatihah sama ada di dalam atau luar solat;

1. Huruf Hamzah dibaca panjang 6 harakat inilah cara yang paling sahih.

2. Huruf Hamzah dibaca pendek iaitu 2 harakat,

3. Huruf Hamzah dibaca secara Imalah iaitu Amin dibaca Emin

4. Huruf Hamzah dibaca panjang dan huruf Mim pun dibaca dengan syaddah (sabdu).

Cara bacaan yang pertama dan kedua adalah masyhur di kalangan ulama. Cara ketiga dan keempat dihikayatkan oleh al-Wahidi di permulaan kitabnya Al-Basith. Saya secara peribadi suka beramal dengan cara yang pertama sama ada saya menjadi imam, makmum atau solat munfarid. Keterangan ini anda boleh rujuk di dalam kitab Terjemahan Al-Azkar Pilihan dari kalimat Rasulullah s.a.w, halaman 92, terbitan Pustaka Antara Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.

Saya menggalakkan umat Islam agar membeli kitab tersebut kerana ia mengandungi banyak faedah dan kebaikannya semoga kita benar-benar mengetahui berbagai hukum dan panduan menurut mazhab al-Syafi'iy. Wallahu a'lam.

Isnin, 28 Jun 2010

BUKU AJARAN SESAT TAIMIYAH, SALAFI DAN WAHABI

بسم الله الرحمن الرحيم
لا إله إلا الله محمد رسول الله فى كل لمحة ونفس عددما وسعه علم الله


Pada 22 Jun 2010 yang lalu, saya telah membeli sebuah buku bertajuk AJARAN SESAT Taimiyah, Salafi, Wahabi Jawapan Kepada Buku Rekod Merah AA Gym yang ditulis oleh Tengku Zulkarnain terbitan Pustaka Mujaddid.

Sepertimana yang sedia maklum umat Islam sejak dahulu sentiasa cuba dirosakkan oleh pihak yang tidak senang dengan ajaran Islam. Mereka sakit hati dan sentiasa mereka bermacam-macam tuduhan terhadap ahli sunnah waljamaah. Mereka juga mendakwa bahawa mereka adalah ahli sunnah waljamaah meskipun kenyataannya merekalah yang merosakkan aqidah tersebut dengan kaedah yang cukup halus, beracun dan sistematik sehingga mereka yang jahil dalam perkara agama mudah terpedaya.

Penulis cuba membongkar kepalsuan dan lakonan puak wahabi yang mendakwa merekalah yang benar-benar mengikit akidah dan amalan golongan salaf yang tidak melakukan bid'ah, khurafat dan syirik.

Saya mencadangkan agar semua umat Islam membeli dan membaca buku tersebut kerana banyak maklumat yang penting di dalam buku tersebut. Atau anda membaca buku 40 Masalah Agama, K.H Siradjuddin Abbas dan buku I'tiqad Ahli Sunnah Jama'ah oleh K.H Siradjuddin Abbas. Sesungguhnya umat Islam tidak akan rugi memliki buku-buku yang dinyatakan tadi demi memelihara aqidah kita daripada rosak dan sesat.

Sekarang di pasaran terdapat banyak buku agama dan majalah yang mengandungi ajaran atau fahaman Wahabi khususnya buku-buku yang diterbitkan di Indonesia seperti yang diterbitkan oleh Pustaka Imam Syafi'ie ( ini cara halus untuk mengelirukan dan memesongkan umat Islam agar terpedaya bahwa apa sahaja yang diterbitkan adalah berdasarkan mazhab as-Syafi'iy kerana mereka tahu penduduk Indonesia, Malaysia, Brunai, Singapura, Thailand adalah bermazhab Syafi'i ).

Apabila anda membeli buku-buku agama dan anda merasa hairan dengan isi kandungannya, maka rujuklah tuan guru atau ustaz. Ya Allah selamatkanlah kami, ahlimkeluarga kami dan umat Islam daripada menjadi mangsa kesesatan Wahabi yang berselindung disebalik nama Al-Quran, As-Sunnah, As-Salafi dan sebagainya.

Buku Ajaran Sesat, tulisan Tengku Zulkarnain tersebut boleh anda dapatkan di kedai-kedai buku atau hubungi 03-26947241 atau 012 2734511 ( Pustaka Mujaddid 47A, Tingkat 1, Jalan Raja Alang, 50300, Kuala Lumpur.

Perlu dinyatakan di sini bahawa saya tiada mempunyai apa-apa kepentingan atau kaitan dengan syarikat di atas, saya lakukan ini adalah kerana saya cintakan seluruh umat Islam dan mahu kesesatan mereka yang berfahaman Wahabi dapat diketahui umum. Wallahu a'lam.

DABIJA
29 Jun 2010

Khamis, 24 Jun 2010

KALIMAH YANG DIBACA SAMA ADA DENGAN SHAD ATAU SIN

بسم الله الرحمن الرحيم
لا إله إلا الله محمد رسول الله فى كل لمحة ونفس عددما وسعه علم الله

Dalam qiraat 'Ashim riwayat Hafsh dari thariq al-Syathibiyyah ada tiga hukum bagi kalimah-kalimah berikut sama ada dibaca dengan Shad atau Sin;

1. Kalimah و يبصط wajib dibaca dengan Sin menjadi ويبسط dalam ayat 245 surah al-Baqarah.

2. Kalimah بصطة wajib dibaca dengan Sin menjadi بسطة dalam ayat 69 surah al-A'raaf.

3. Kalimah بمصيطر wajib dibaca dengan Shad dalam ayat 22 surah al-Ghasyiyah.

4. Kalimah المصيطرون boleh dibaca dengan Shad atau Sin dalam ayat 37 surah al-Thur.

Sila dapatkan bacaan yang benar terus dari mulut guru ( musyafahah ) agar anda tidak melakukan kesalahan bacaan. Wallahu a'lam.

Jika anda tinggal sekitar Puchong, Selangor anda dijemput hadir ke kuliah mingguan atau bulanan di Masjid Bandar Bukit Puchong, Masjid Nurul Iman Kg Tengah Puchong, Surau As-Syakirin Tmn Puchong Utama, Surau At-Toyyibah Bandar Bukit Puchong dan Surau Tmn Desa Ayer Hitam. Hubungi saya untuk keterangan lanjut 013 2264264.

Rabu, 2 Jun 2010

BUKU TERBARU: AL-WIQAYAH


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
لا إله إلا الله محمد رسول الله فى كل لمحة ونفس عددما وسعه علم الله

Alhamdulillah, saya baharu sahaja selesai menyiapkan buku saya yang ke-5 yang berjodol الوقاية ( Al-Wiqayah) lebih kurang pada jam 11.00 pagi tadi ( 3.6.2010).

Buku saya yang inimengandungi pelbagai petua dan amalan untuk;

1. Orang yang sedang sakit jantung, darah tinggi, kencing manis, batu karang dll.

2. Orang yang ingin mengandung

3. Orang yang ingin sembuh dari sihir

4. Orang yang ingin perniagaannya laris

5. Orang yang ingin berjaya

6. Orang yang ingin ketenangan sanubari dll.

Di dalam buku tersebut saya juga mengijazahkan Hizb Al-Bahr dan Hizb An-Nawawi yang mana kedua-duanya mempunyai pelbagai khasiat dan kelebihan jika diamalkan setiap hari.

In sya Allah buku tersebut akan diterbitkan pada akhir Jun awal Julai 2010. Jika anda berminat memilikinya sila hubungi saya terus 013 2264 264 atau isteri saya Ustazah Muslihah 013 291 7767 atau 03-33927435 ( Rumah ).




Jumaat, 21 Mei 2010

MARTABAT TINGKATAN HURUF ISTI'LA'

بسم الله الرحمن الرحيم
لا إله إلا الله محمد رسول الله فى كل لمحة ونفس عددما وسعه علم الله
____________________________________


Semua huruf hijaiyyah yang berjumlah 28 huruf mempunyai sifat. Salah satu sifat daripada sifat-sifat huruf ialah al-Isti'laa'.

Ia dinamakan Isti'laa' kerena sebahagian pangkal lidah diangkat ke lelangit semasa mengeluar hurufnya dari makhraj yang menyebabkan semua hurufnya berbunyi tebal.Huruf-huruf yang bersifat Isti'laa' ada 7 huruf sahaja: ط , ص , ض , ظ , ق , خ dan غ. Imam Ibnu al-Jazariy menyusun huruf-huruf Isti'laa' :

خُصَّ ضَغْطٍ قِظْ


Huruf-huruf Isti'laa' tersebut ada 5 tingkat ketebalan. Berikut adalah susunan martabat ketebalan berdasarkan keadaan huruf-huruf tersebut. Susunan adalah dari martabat yang paling tebal hingga ke martabat yang kurang tebal( bukan nipis );

1. Setiap huruf Isti'laa' yang berbaris fathah ( atas ) dan diselepasnya ada huruf Alif. Contoh;

طَالَ , ظَالِمِينَ ,صَالِحِينَ

2. Setiap huruf Isti'laa' yang berbaris fathah sahaja tanpa Alif.

صَلَحَ , خَلَقَ

3. Setiap huruf Isti'laa' yang berbaris Dhammah ( depan )

قُتِلَ , ظُلِمَ

4. Setiap huruf Isti'laa' yang sukun ( tiada harakat )

يَقْتُلُونَ , أَخْلَدَهُ

5. Setiap huruf Isti'laa' yang berbaris kasrah ( bawah )

قِيلَ , يَصِفُونَ

Perbezaan bunyi setiap martabat hanya dapat diketahui secara bertalaqqi dari guru secara musyafahah sahaja. Dengan cara talaqqi dan musyafaha sahaja bacaan kita dapat diperbaiki oleh guru dan kita akan lebih yakin dengan tahap bacaan al-Quran kita, in sya Allah.

Pelajarilah bacaan al-Quran dan ilmu tajwid terus dari guru, buka dari buku kerana al_Quran adalah mukjizat agong yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w untuk manusia yang ingin hidup bahagia di akhirat.

Jika anda tinggal di sekitar Puchong, Shah Alam, Subang Jaya, anda dijemput hadir ke kuliah talaqqi al-Quran di Masjid Bandar Bukit Puchong, Masjid Nurul Iman Kg Tengah Puchong, Masjid Taman Subang Perdana, Surau As-Syakirin Taman Puchong Utama, Surau al-Makmuriyah Sri Pristana Saujana Utama, Surau Taman Desa Ayer Hitam Puchong, Surau al-Toyyibah Bandar Bukit Puchong, Surau al-Najahiyyah Seksyen 19 Shah Alam, Musalla al-Hijrah Taman Johan Setia Klang, atau hubungi saya di talian 013 2264 264. Wallahu a'lam.

Isnin, 17 Mei 2010

KAIFIAT BACAAN IKHFA' SYAFAWIY

بسم الله الرحمن الرحيم
لا إله إلا الله محمد رسول الله فى كل لمحة ونفس عددما وسعه علم الله
__________________________________

Ikhfa' Syafawiy ialah bacaan dengung 2 harakat kerana huruf Mim sakinah ( mati ) bertemu dengan huruf Ba mutaharrikah ( hidup ). Oleh kerana huruf Mim dan Ba keluar dari dua bibir mulut, maka hukum ini dinamakan Syafawiy. Contoh;

ترميهم بحجارة

Cara membacanya ada 2 kaifiat iaitu.

1. Dibaca dengan merapatkan kedua bibir mulut berserta dengung 2 harakat.

2. Dibaca dengan merapatkan kedua bibir mulut secara ringan ( direnggangkan sedikit ) sekadar dua harakat.

Menurut Dr. al-Syaikh al-Muqri' Yahya 'Abd al-Razzaq al-Ghawtaniy bahawa kaifiat bacaan ikhfa' Syafawiy adalah dengan merapatkan kedua bibir mulut sekadar dengung 2 harakat. Inilah kaifiat yang muktamad sebagaimana yang beliau terima dari guru-guru beliau;

1. al-Muqri' al-Syaikh Ahmad 'Abd al-'Aziz al-Ziyaat Syaikh al-Qurra' di Mesir
2. al-Muqri' al-Syaikh Husain Khatthab Syaikh al-Qurra' di Damsyiq
3. al-Muqri' al-Syaikh Muhammad Karrim Rajih Syaikh al-Qurra' di Damsyiq
4. al-Muqri' al-Syaikh Abu al-Hasan al-Kurdiy Syaikh al-Maqari' di Universiti Zaid Damsyiq
5. al-Muqri' al-Syaikh Muhammad 'adil al-Himshiy Syaikh al-Qurra' di Halb
6. al-Muqri' al-Syaikh Muhammad Kalal al-Thahhan al-Halabiy
7. al-Muqri' al-Syaikh Bakriy al-Tharabisyiy A'la al-Qurra' peringkat antarabangsa

Mereka semua mengatakan bahawa cara bacaan Ikhfa' Syafawiy adalah dengan merapatkan kedua bibir mulut bersama dengung 2 harakat. Dan tiada perbezaan antara kaifiat bacaan Ikhfa' Syafawiy dengan Iqlab iaitu kedua-dua bibir mulut dirapatkan bersama dengung 2 harakat.

Menurut Dr. Yahya al-Muqri' lagi, kaifiat merenggangkan sedikit kedua-dua bibir mulut bagi Ikhfa' Syafawiy dan Iqlab adalah berdasarkan ijtihad ulama qurra'. Bahkan menurut beliau bahawa al-Syaikh Ahmad 'Abd al-'Aziz al-Ziyat membaca dengan merapatkan bibir mulut untuk dua hukum tersebut sebagaimana yang ia terima dari al-Syaikh 'Abd al-Fatah al-Hindiy. Namun begitu, tidak mengapa jika dibaca dengan ithbaq khafifan ( dirapatkan dengan ringan ) tanpa membuka kedua bibir mulut. Wallahu a'lam.



kULIAH TAFSIR DAN SYARAH AL-HIKAM

بسم الله الرحمن الرحيم
لا إله إلا الله محمد رسول الله فى كل لمحة ونفس عددما وسعه علم الله
_________________________________


Umat Islam yang tinggal tidak jauh dari Surau As-Syakirin Taman Puchong Utama adalah dijemput hadir ke kuliah tafsir al-Quran dan pengajian Syarah al-Hikam. Berikut adalah jadual pengajian tersebut;

Kuliah Tafsir Al-Quran ( Juz 30 )

Hari : Jumaat ke-4 dan Ahad ke-4 ( 2 kali sebulan )

Masa : Selepas solat fardhu Maghrib


Kuliah Syarah Kitab Al-Kitab

Hari : Ahad pertama dan Ahad ke-3 ( 2 kali sebulan )

Masa : Selepas solat fardhu Subuh

* Kitab al-Hikam ada dijual dengan harga RM16.00 sahaja

Untuk keterangan selanjutnya, sila hubungi 013 2264 264 atau 03-33927435