Isnin, 17 Mei 2010

KAIFIAT BACAAN IKHFA' SYAFAWIY

بسم الله الرحمن الرحيم
لا إله إلا الله محمد رسول الله فى كل لمحة ونفس عددما وسعه علم الله
__________________________________

Ikhfa' Syafawiy ialah bacaan dengung 2 harakat kerana huruf Mim sakinah ( mati ) bertemu dengan huruf Ba mutaharrikah ( hidup ). Oleh kerana huruf Mim dan Ba keluar dari dua bibir mulut, maka hukum ini dinamakan Syafawiy. Contoh;

ترميهم بحجارة

Cara membacanya ada 2 kaifiat iaitu.

1. Dibaca dengan merapatkan kedua bibir mulut berserta dengung 2 harakat.

2. Dibaca dengan merapatkan kedua bibir mulut secara ringan ( direnggangkan sedikit ) sekadar dua harakat.

Menurut Dr. al-Syaikh al-Muqri' Yahya 'Abd al-Razzaq al-Ghawtaniy bahawa kaifiat bacaan ikhfa' Syafawiy adalah dengan merapatkan kedua bibir mulut sekadar dengung 2 harakat. Inilah kaifiat yang muktamad sebagaimana yang beliau terima dari guru-guru beliau;

1. al-Muqri' al-Syaikh Ahmad 'Abd al-'Aziz al-Ziyaat Syaikh al-Qurra' di Mesir
2. al-Muqri' al-Syaikh Husain Khatthab Syaikh al-Qurra' di Damsyiq
3. al-Muqri' al-Syaikh Muhammad Karrim Rajih Syaikh al-Qurra' di Damsyiq
4. al-Muqri' al-Syaikh Abu al-Hasan al-Kurdiy Syaikh al-Maqari' di Universiti Zaid Damsyiq
5. al-Muqri' al-Syaikh Muhammad 'adil al-Himshiy Syaikh al-Qurra' di Halb
6. al-Muqri' al-Syaikh Muhammad Kalal al-Thahhan al-Halabiy
7. al-Muqri' al-Syaikh Bakriy al-Tharabisyiy A'la al-Qurra' peringkat antarabangsa

Mereka semua mengatakan bahawa cara bacaan Ikhfa' Syafawiy adalah dengan merapatkan kedua bibir mulut bersama dengung 2 harakat. Dan tiada perbezaan antara kaifiat bacaan Ikhfa' Syafawiy dengan Iqlab iaitu kedua-dua bibir mulut dirapatkan bersama dengung 2 harakat.

Menurut Dr. Yahya al-Muqri' lagi, kaifiat merenggangkan sedikit kedua-dua bibir mulut bagi Ikhfa' Syafawiy dan Iqlab adalah berdasarkan ijtihad ulama qurra'. Bahkan menurut beliau bahawa al-Syaikh Ahmad 'Abd al-'Aziz al-Ziyat membaca dengan merapatkan bibir mulut untuk dua hukum tersebut sebagaimana yang ia terima dari al-Syaikh 'Abd al-Fatah al-Hindiy. Namun begitu, tidak mengapa jika dibaca dengan ithbaq khafifan ( dirapatkan dengan ringan ) tanpa membuka kedua bibir mulut. Wallahu a'lam.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan