Isnin, 17 Mei 2010

HUKUM MEMBACA BASMALAH DI AWAL SURAH BARA'AH

بسم الله الرحمن الرحيم
لا إله إلا الله محمد رسول الله فى كل لمحة ونفس عددما وسعه علم الله
__________________________________

Membaca Basmalah di awal surah Bara'ah ( al-Tawbah ) adalah dilarang menurut para Qurra' dan Fuqaha' serta Muhadditsin.

1. Imam Al-Syathibiy iaitu pengarang kitab qiraat yang terkenal, berkata dalam Mandzumah Hirz al-Amaniy Wawajh al-Tahaniy atau masyhur dengan Almandzumah al-Asyathibiyyah;

" Dan bila-bila masa sahaja kamu wasalkan, atau kamu mulai surah Bara'ah kerana turunnya bersama ayat pedang, tidaklah kamu membaca Basmalah. Dan tidak dapat tidak daripada Basmalah ketika kamu memulai akan surah kecuali Bara'ah, dan pada permulaan bahagian-bahagian al-Quran, dapatlah memilih orang yang membacanya."

2. Tersebut di dalam kitab I'anah al-Thalibin juz 1 dalam halaman 139;

" Adapun surah Bara'ah, maka bukanlah Basmalah itu satu ayat daripadanya. Dan dimakruhkan pada awalnya, dan disunnatkan pada pertengahannya menurut al-Syaikh Muhammad al-Ramliy. Dan menurut Syaikh Ibnu Hajar al-Haitamiy diharamkan Basmalah pada permulaanya dan dimakruhkan pada pertengahannya, kerana sesungguhnya maqamnya tidak sesuai dengan 'Rahmat' sebab surah tersebut turun bersama 'Pedang'."

3. Tersebut di dalam kitab Fath al-Bari karangan al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalaniy, juz 9 dalam halaman 373;

" Dan khilaf orang sebab pada meninggalkan Basmalah di permulaan surah Bara'ah, maka dikatakan orang kerana bahawasanya surah itu turun bersama Pedang, sedang Basmalah adalah aman. Dan dikatakan kerana bahawasanya mereka itu tatkala menghimpun al-Quran ragu-ragu mereka apakah surah Bara'ah bersama surah al-Anfal itu masih satu surah, atau dua surah?.Maka mereka pisahkan antara keduanya dengan satu sathr yang tidak bertulisan padanya dan mereka itu tidak menuliskan Basmalah. Dan telah meriwayatkan yang demikian itu Ibnu 'Abbas dari 'Utsman. dan itulah yang muktamad. dan telah mengeluarkan oleh al-Hakim dan sebahagian daripada ashab al-Sunan."

4. Tersebut dalam kitab Nail al-Awthar karangan al-Imam Muhammad bin 'Aliy bin Muhammad al-Syaukaniy, juz 1 dalam halaman 208;

" Dan telah berselisih pendapat mereka itu, apakah Basmalah itu satu ayat darpada surah al-Fatihah sahaja, atau daripada tiap-tiap surah atau bukan ayat. Maka telah mazhab Ibnu 'Abbas , Ibnu 'Umar , Ibnu al-Zubayr, Thawus, 'Atha', Makhul, Ibnu al-Mubarak dan satu Thaifah menyatakan bahawa Basmalah itu satu ayat dari surah al-Fatihah dan setiap surah selain Bara'ah. Dan dihikayatkan dari Ahmad, Ishaq, Ibni 'Ubayd dan satu jamaah dari ahli Kufah dan ahli Makkah dan kebanyakan daripada ulam 'Iraq. Dan telah menghikayatkan akan dia oleh al-Khatthabiy dari Abiy Hurayrah dan Sa'id bin Jubayr. Dan telah meriwayatkannya oleh al-Bayhaqiy dalam al-Khilafiyaat dengan sanadnya dari 'Aliy bin Abiy Thalib dan al-Zuhriy dan Sufyan al-Tsawriy."

Al-Syaikh Ibnu Hajar, al-Syaikh Khatib Syarbayniy dan al-Syaikh 'Abd al-Haqq berpendapat bahawa membaca Basmalah di awal surah Bara'ah adalah haram dan di pertengahannya pula makruh. Manakala al-Syaikh Muhammad al-Ramliy dan al-Syaikh Qalyubiy berpendapat membaca Basmalah di awal surah tersebut adalah makruh dan membacanya di pertengahannya adalah sunnat.

Dari keterangan di atas, umunya umat Islam hanya membaca Isti'azah sama ada di awal surah Bara'ah atau di pertengahannya. Amalan ini sesuai dengan hadis;

كل أمر ذى بال لا يبدأ فيه بذكر الله فهو أبتر

" Setiap amalan yang mengadungi kebaikan yang tidak dimulai dengan zikrullah maka ia abtar ( kuranf barakah )."

Isti'azah itu salah satu zikrullah. Wallahu a'lam.

Jika anda tinggal tidak jauh dari Puchong, Shah Alam, Subang Jaya dan Klang, anda dipelawa untuk hadir ke kuliah Talaqqi al-Quran di bawah bimbingan saya.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi 013 2264 264

Tiada ulasan:

Catat Ulasan