Jumaat, 21 Mei 2010

MARTABAT TINGKATAN HURUF ISTI'LA'

بسم الله الرحمن الرحيم
لا إله إلا الله محمد رسول الله فى كل لمحة ونفس عددما وسعه علم الله
____________________________________


Semua huruf hijaiyyah yang berjumlah 28 huruf mempunyai sifat. Salah satu sifat daripada sifat-sifat huruf ialah al-Isti'laa'.

Ia dinamakan Isti'laa' kerena sebahagian pangkal lidah diangkat ke lelangit semasa mengeluar hurufnya dari makhraj yang menyebabkan semua hurufnya berbunyi tebal.Huruf-huruf yang bersifat Isti'laa' ada 7 huruf sahaja: ط , ص , ض , ظ , ق , خ dan غ. Imam Ibnu al-Jazariy menyusun huruf-huruf Isti'laa' :

خُصَّ ضَغْطٍ قِظْ


Huruf-huruf Isti'laa' tersebut ada 5 tingkat ketebalan. Berikut adalah susunan martabat ketebalan berdasarkan keadaan huruf-huruf tersebut. Susunan adalah dari martabat yang paling tebal hingga ke martabat yang kurang tebal( bukan nipis );

1. Setiap huruf Isti'laa' yang berbaris fathah ( atas ) dan diselepasnya ada huruf Alif. Contoh;

طَالَ , ظَالِمِينَ ,صَالِحِينَ

2. Setiap huruf Isti'laa' yang berbaris fathah sahaja tanpa Alif.

صَلَحَ , خَلَقَ

3. Setiap huruf Isti'laa' yang berbaris Dhammah ( depan )

قُتِلَ , ظُلِمَ

4. Setiap huruf Isti'laa' yang sukun ( tiada harakat )

يَقْتُلُونَ , أَخْلَدَهُ

5. Setiap huruf Isti'laa' yang berbaris kasrah ( bawah )

قِيلَ , يَصِفُونَ

Perbezaan bunyi setiap martabat hanya dapat diketahui secara bertalaqqi dari guru secara musyafahah sahaja. Dengan cara talaqqi dan musyafaha sahaja bacaan kita dapat diperbaiki oleh guru dan kita akan lebih yakin dengan tahap bacaan al-Quran kita, in sya Allah.

Pelajarilah bacaan al-Quran dan ilmu tajwid terus dari guru, buka dari buku kerana al_Quran adalah mukjizat agong yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w untuk manusia yang ingin hidup bahagia di akhirat.

Jika anda tinggal di sekitar Puchong, Shah Alam, Subang Jaya, anda dijemput hadir ke kuliah talaqqi al-Quran di Masjid Bandar Bukit Puchong, Masjid Nurul Iman Kg Tengah Puchong, Masjid Taman Subang Perdana, Surau As-Syakirin Taman Puchong Utama, Surau al-Makmuriyah Sri Pristana Saujana Utama, Surau Taman Desa Ayer Hitam Puchong, Surau al-Toyyibah Bandar Bukit Puchong, Surau al-Najahiyyah Seksyen 19 Shah Alam, Musalla al-Hijrah Taman Johan Setia Klang, atau hubungi saya di talian 013 2264 264. Wallahu a'lam.

Isnin, 17 Mei 2010

KAIFIAT BACAAN IKHFA' SYAFAWIY

بسم الله الرحمن الرحيم
لا إله إلا الله محمد رسول الله فى كل لمحة ونفس عددما وسعه علم الله
__________________________________

Ikhfa' Syafawiy ialah bacaan dengung 2 harakat kerana huruf Mim sakinah ( mati ) bertemu dengan huruf Ba mutaharrikah ( hidup ). Oleh kerana huruf Mim dan Ba keluar dari dua bibir mulut, maka hukum ini dinamakan Syafawiy. Contoh;

ترميهم بحجارة

Cara membacanya ada 2 kaifiat iaitu.

1. Dibaca dengan merapatkan kedua bibir mulut berserta dengung 2 harakat.

2. Dibaca dengan merapatkan kedua bibir mulut secara ringan ( direnggangkan sedikit ) sekadar dua harakat.

Menurut Dr. al-Syaikh al-Muqri' Yahya 'Abd al-Razzaq al-Ghawtaniy bahawa kaifiat bacaan ikhfa' Syafawiy adalah dengan merapatkan kedua bibir mulut sekadar dengung 2 harakat. Inilah kaifiat yang muktamad sebagaimana yang beliau terima dari guru-guru beliau;

1. al-Muqri' al-Syaikh Ahmad 'Abd al-'Aziz al-Ziyaat Syaikh al-Qurra' di Mesir
2. al-Muqri' al-Syaikh Husain Khatthab Syaikh al-Qurra' di Damsyiq
3. al-Muqri' al-Syaikh Muhammad Karrim Rajih Syaikh al-Qurra' di Damsyiq
4. al-Muqri' al-Syaikh Abu al-Hasan al-Kurdiy Syaikh al-Maqari' di Universiti Zaid Damsyiq
5. al-Muqri' al-Syaikh Muhammad 'adil al-Himshiy Syaikh al-Qurra' di Halb
6. al-Muqri' al-Syaikh Muhammad Kalal al-Thahhan al-Halabiy
7. al-Muqri' al-Syaikh Bakriy al-Tharabisyiy A'la al-Qurra' peringkat antarabangsa

Mereka semua mengatakan bahawa cara bacaan Ikhfa' Syafawiy adalah dengan merapatkan kedua bibir mulut bersama dengung 2 harakat. Dan tiada perbezaan antara kaifiat bacaan Ikhfa' Syafawiy dengan Iqlab iaitu kedua-dua bibir mulut dirapatkan bersama dengung 2 harakat.

Menurut Dr. Yahya al-Muqri' lagi, kaifiat merenggangkan sedikit kedua-dua bibir mulut bagi Ikhfa' Syafawiy dan Iqlab adalah berdasarkan ijtihad ulama qurra'. Bahkan menurut beliau bahawa al-Syaikh Ahmad 'Abd al-'Aziz al-Ziyat membaca dengan merapatkan bibir mulut untuk dua hukum tersebut sebagaimana yang ia terima dari al-Syaikh 'Abd al-Fatah al-Hindiy. Namun begitu, tidak mengapa jika dibaca dengan ithbaq khafifan ( dirapatkan dengan ringan ) tanpa membuka kedua bibir mulut. Wallahu a'lam.



kULIAH TAFSIR DAN SYARAH AL-HIKAM

بسم الله الرحمن الرحيم
لا إله إلا الله محمد رسول الله فى كل لمحة ونفس عددما وسعه علم الله
_________________________________


Umat Islam yang tinggal tidak jauh dari Surau As-Syakirin Taman Puchong Utama adalah dijemput hadir ke kuliah tafsir al-Quran dan pengajian Syarah al-Hikam. Berikut adalah jadual pengajian tersebut;

Kuliah Tafsir Al-Quran ( Juz 30 )

Hari : Jumaat ke-4 dan Ahad ke-4 ( 2 kali sebulan )

Masa : Selepas solat fardhu Maghrib


Kuliah Syarah Kitab Al-Kitab

Hari : Ahad pertama dan Ahad ke-3 ( 2 kali sebulan )

Masa : Selepas solat fardhu Subuh

* Kitab al-Hikam ada dijual dengan harga RM16.00 sahaja

Untuk keterangan selanjutnya, sila hubungi 013 2264 264 atau 03-33927435

HUKUM MEMBACA BASMALAH DI AWAL SURAH BARA'AH

بسم الله الرحمن الرحيم
لا إله إلا الله محمد رسول الله فى كل لمحة ونفس عددما وسعه علم الله
__________________________________

Membaca Basmalah di awal surah Bara'ah ( al-Tawbah ) adalah dilarang menurut para Qurra' dan Fuqaha' serta Muhadditsin.

1. Imam Al-Syathibiy iaitu pengarang kitab qiraat yang terkenal, berkata dalam Mandzumah Hirz al-Amaniy Wawajh al-Tahaniy atau masyhur dengan Almandzumah al-Asyathibiyyah;

" Dan bila-bila masa sahaja kamu wasalkan, atau kamu mulai surah Bara'ah kerana turunnya bersama ayat pedang, tidaklah kamu membaca Basmalah. Dan tidak dapat tidak daripada Basmalah ketika kamu memulai akan surah kecuali Bara'ah, dan pada permulaan bahagian-bahagian al-Quran, dapatlah memilih orang yang membacanya."

2. Tersebut di dalam kitab I'anah al-Thalibin juz 1 dalam halaman 139;

" Adapun surah Bara'ah, maka bukanlah Basmalah itu satu ayat daripadanya. Dan dimakruhkan pada awalnya, dan disunnatkan pada pertengahannya menurut al-Syaikh Muhammad al-Ramliy. Dan menurut Syaikh Ibnu Hajar al-Haitamiy diharamkan Basmalah pada permulaanya dan dimakruhkan pada pertengahannya, kerana sesungguhnya maqamnya tidak sesuai dengan 'Rahmat' sebab surah tersebut turun bersama 'Pedang'."

3. Tersebut di dalam kitab Fath al-Bari karangan al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalaniy, juz 9 dalam halaman 373;

" Dan khilaf orang sebab pada meninggalkan Basmalah di permulaan surah Bara'ah, maka dikatakan orang kerana bahawasanya surah itu turun bersama Pedang, sedang Basmalah adalah aman. Dan dikatakan kerana bahawasanya mereka itu tatkala menghimpun al-Quran ragu-ragu mereka apakah surah Bara'ah bersama surah al-Anfal itu masih satu surah, atau dua surah?.Maka mereka pisahkan antara keduanya dengan satu sathr yang tidak bertulisan padanya dan mereka itu tidak menuliskan Basmalah. Dan telah meriwayatkan yang demikian itu Ibnu 'Abbas dari 'Utsman. dan itulah yang muktamad. dan telah mengeluarkan oleh al-Hakim dan sebahagian daripada ashab al-Sunan."

4. Tersebut dalam kitab Nail al-Awthar karangan al-Imam Muhammad bin 'Aliy bin Muhammad al-Syaukaniy, juz 1 dalam halaman 208;

" Dan telah berselisih pendapat mereka itu, apakah Basmalah itu satu ayat darpada surah al-Fatihah sahaja, atau daripada tiap-tiap surah atau bukan ayat. Maka telah mazhab Ibnu 'Abbas , Ibnu 'Umar , Ibnu al-Zubayr, Thawus, 'Atha', Makhul, Ibnu al-Mubarak dan satu Thaifah menyatakan bahawa Basmalah itu satu ayat dari surah al-Fatihah dan setiap surah selain Bara'ah. Dan dihikayatkan dari Ahmad, Ishaq, Ibni 'Ubayd dan satu jamaah dari ahli Kufah dan ahli Makkah dan kebanyakan daripada ulam 'Iraq. Dan telah menghikayatkan akan dia oleh al-Khatthabiy dari Abiy Hurayrah dan Sa'id bin Jubayr. Dan telah meriwayatkannya oleh al-Bayhaqiy dalam al-Khilafiyaat dengan sanadnya dari 'Aliy bin Abiy Thalib dan al-Zuhriy dan Sufyan al-Tsawriy."

Al-Syaikh Ibnu Hajar, al-Syaikh Khatib Syarbayniy dan al-Syaikh 'Abd al-Haqq berpendapat bahawa membaca Basmalah di awal surah Bara'ah adalah haram dan di pertengahannya pula makruh. Manakala al-Syaikh Muhammad al-Ramliy dan al-Syaikh Qalyubiy berpendapat membaca Basmalah di awal surah tersebut adalah makruh dan membacanya di pertengahannya adalah sunnat.

Dari keterangan di atas, umunya umat Islam hanya membaca Isti'azah sama ada di awal surah Bara'ah atau di pertengahannya. Amalan ini sesuai dengan hadis;

كل أمر ذى بال لا يبدأ فيه بذكر الله فهو أبتر

" Setiap amalan yang mengadungi kebaikan yang tidak dimulai dengan zikrullah maka ia abtar ( kuranf barakah )."

Isti'azah itu salah satu zikrullah. Wallahu a'lam.

Jika anda tinggal tidak jauh dari Puchong, Shah Alam, Subang Jaya dan Klang, anda dipelawa untuk hadir ke kuliah Talaqqi al-Quran di bawah bimbingan saya.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi 013 2264 264

Ahad, 16 Mei 2010

KAIFIAT QALQALAH

بسم الله الرحمن الرحيم
لا إله إلا الله محمد رسول الله فى كل لمحة ونفس عددما وسعه علم الله
__________________________________


Setiap pembaca al-Quran wajib mengetahui semua makhraj dan sifat huruf hijahiyyah. Setiap huruf al-Quran mempunyai sifatnya yang tersendiri agar ia berbeza daripada huruf-huruf yang lain. Sifat huruf ialah bagaimana keadaan atau cara sesuatu huruf ketika ia dikeluarkan dari makhraj ( tempat keluar) huruf. Salah satu sifat huruf ialah al-Qalqalah.

Qalqalah ialah suatu bunyi tambahan di makhraj yang disebabkan satu tekanan yang kuat ketika ia sukun asli atau sukun sebab waqaf. Huruf yang bersifat qalqalah hanya 5 huruf sahaja;

ق ط ب ج د

Namun begitu bunyi qalqalah adalah berbeza untuk tiga keadaan berikut;

1. Bunyi qalqalah yang jelas tanpa terputus suara ketika wasal. dinamakan al-Shughra (kecil)

2. Bunyi qalqalah yang lebih jelas sebaik sahaja bacaan diwaqafkan. Ia dinamakan al-Kubra ( besar).

3. Bunyi qalqalah yang sangat jelas setelah suara bacaan ditahan 2 harakat sebaik sahaja bacaan diwaqafkan. Ia dinamakan Akbar ( sangat besar ). Huruf Qalqalah jenis Akbar adalah bersabdu kecuali huruf Tha kerana tiada kalimah yang berakhir dengan huruf Tha bersabdu dalam al-Quran.

Kaifiat membunyikan qalqalah ada 2 pendapat ulama;

1. Bunyi qalqalah hampir kepada bunyi baris fathah secara mutlak,

2. Bunyi qalqalah mengikut bunyi harakat huruf sebelumnya. Inilah pendapat paling rajih atau kuat.

Bacaan qalqalah yang betul hanya boleh didapati dari guru secara musyafahah. Untuk maklumat tambahan kita dengarkan bacaan al-Quran al-Marhum al-Syaikh Mahmud Khalil al-Khushariy. dan jika anda tinggal tidak jauh dari Puchong, Shah Alam, Subang Jaya, silalah datang ke Masjid Bandar Bukit Puchong, Masjid Taman Subang Perdana, Surau As-Syakirn Tmn Puchong Utama, Surau Al-Najahiyyah Seksyen 19 Shah Alam, atau menghubungi saya di talian 013 2264 264. Wallahu a'lam.

Untuk Menyertai Kuliah Talaqqi Al-Quran Bersanad Bersama Ustaz Dahim, Hubungi 03-33927435

GHUNNAH IKHFA' HAQIQIY

بسم الله الرحمن الرحيم
لا إله إلا الله محمد رسول الله فى كل لمحة ونفس عددما وسعه علم الله
___________________________________

Ikhfa' Haqiqiy ialah membunyikan huruf Nun sakinah atau Tanwin dengan dengung 2 harakat yang bacaanya antara Izhar dan Idgham. Hurufnya hanya ada 15 huruf sahaja yang telah dihimpun dalam bait syair berikut oleh al-Imam Sulaiman al-Jamzuriy rahimahullahu Ta'ala;

صف ذا ثنا كم جاد شخص قد سما دم طيبا زد فى تقى ضع ظالما

Setiap bunyi ghunnah ( dengung ) ikhfa' haqiqiy adalah berbeza ( ada 15 bunyi dengung ). Namun begitu, ia dibahagikan kepada 2 jenis iaitu Ghunnah Ghalizah ( dengung yang ditebalkan ) dan Ghunnah Khafifah ( dengung yang dinipiskan ).

Apabila Nun sakinah atau tanwin bertemu salah satu daripada 5 huruf berikut dengungnya WAJIB ditebalkan kerana huruf-huruf ini bersifat Isti'la' danIthbaq; ص,ض,ط,ظ dan ق

Cara bacaan ikhfa' haqiqiy yang betul ialah hujung lidah tidak ditekan pada makhraj Nun tetapi perlu direnggangkan sedikit selama kadar 2 harakat. Bacaan ikhfa' haqiqiy hanya boleh dikuasai dengan baik setelah bertalaqqi dengan guru yang sanadnya bersambung sampai kepada Rasulullah s.a.w.

Sejak akhir-akhir ini ada berbagai kaedah belajar al-Quran. Ini satu kemajuan yang baik dan patut digalakkan agar lebih ramai lagi umat Islam yang boleh membaca al-Quran. Tetapi sayang kadang-kadang ada yang mengajar membaca al-Quran tidak mempunyai kemahiran menunaikan hukum hakam tajwid sebab ia tidak pernah bertalaqqi al-Quran sehingga khatam 30 juz secara musyafahah dan ada' dari guru/syaikh yang sanadnya bersambung sampai kepada Rasulullah s.a.w.

Pelajarilah al-Quran secara talaqqi dan musyafahah dari guru yang ahli dalam bidang tajwid dan bacaan al-Quran. Usahlah terpedaya dengan fahaman yang mengatakan bacaan al-Quran tidak semestinya dalam bacaan Arab, kerana yang penting kitab faham isi kandungannya. Ini fahaman yang sesat dan menyesatkan. Carilah guru dan belajarlah al-Quran dengan bersungguh-sungguh tanpa jemu dan bersabarlah kerana bersama kesukaran pasti ada kemudahan.

Jika anda tinggal tidak jauh dari Puchong, Shah Alam atau Subang Jaya hadirlah ke kuliah al-Quran saya di Masjid Bandar Bukit Puchong, Masjid Nurul Iman Kg Tengah, Masjid Taman Subang Perdana, Surau As-Syakirin Taman Puchong Utama, Surau An-Najahiyyah Seksyen 19 Shah Alam atau hubungi saya di hujung talian 013 2264 264. Wallahu alam.

Selasa, 4 Mei 2010

HUKUM BELAJAR AL-QURAN

بسم الله الرحمن الرحيم
لا إله إلا الله محمد رسول الله فى كل لمحة ونفس عددما وسعه علم الله

Hukum belajar ilmu Tajwid ialah fardhu Kifayah dan mengamalkan ilmu tajwid ketika membaca al-Quran adalah fardhu 'Ain ke atas setiap orang yang ingin membaca al-Quran.

Firman Allah Ta'ala dalam surah al-Muzzammil (4) ;

" Dan bacalah akan al-Quran secara tartil "

Sabda Rasulullah s.a.w;

" Sesungguhnya Allah Ta'ala menyukai akan hamba-Nya yang membaca al-Quran bertepatan sebagaimana sebagaimana ia diturunkan." ( Riwayat Ibnu Khuzaimah )

Sayyina 'Aliy r.a berkata;

" Tartil ialah memperelokkan bacaan ( mengeluarkan huruf dari makhraj dan menunaikan sifat huruf dengan betul ) dan mengetahui kaedah waqaf dan ibtida' yang sebenar."

Ilmu tajwid ialah ilmu berkaitan dengan seni bacaan, seni suara dan kemahiran dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan waqaf dan ibtida'. Ilmu ini terbahagi kepada dua bahagian;

1. Tajwid 'Ilmiy iaitu ilmu yang menerangkan hukum hakam tertentu agar al-Quran dibaca sebagaimana yang dikehendaki oleh syara'. Hukumnya fardhu kifayah iaitu jika dalam sebuah kampung tidak ada orang yang layak mengajar al-Quran kecuali seorang sahaja maka ketika itu fardhu 'ain ke atasnya mengajar al-Quran kepada orang lain.

2. Tajwid 'Amaliy iaitu menunaikan segala hukum bacaan al-Quran semasa membacanya agar terpelihara kemuliaan al-Quran dan sipembacanya mendapat rahmat dari Allah. Hukum mengamalkan hukum hakam tajwid semasa membaca al-Quran adalah fardhu 'ain ( wajib ). Kata al-Imam Ibnu al-Jazariy;

" Dan beramal dengan tajwid itu satu kewajipan, siapa yang tidak mentajwidkan al-Quran maka ia berdosa."

Kata al-Syaikh Muhammad Ali bin Khalaf al-Husainiy;

" Siapa mengambil ilmu daripada seseorang guru secara musyafahah adalah i melencong dan menyalahi daripada jatuhdalam perkara yang dilarang. Dan siapa yang mengambil ilmu daripada buku semata-mata maka ilmunya di sisi ulama seperti tidak wujud."

Ada orang dewasa atau warga emas yang tidak berminat mengikuti pengajian al-Quran yang diadakan di masjid dan surau kerana merasa malu atau beranggapan bahawa kuliah seperti itu hanya layak untuk kanak-kanak sahaja. Inilah bisikan syaitan laknatullah 'alaihi yang membisikan ke dalam hati orang mukmin agar meninggalkan al-Quran termasuklah mempelajari al-Quran. Oleh yang demikian, kita hendaklah mengikuti kuliah tajwid dan talaqqi al-Quran yang diadakan di masjid atau surau kita. Ingatlah pesanan Rasulullah s.a.w;

" Bacalah al-Quran ( dengan betul ) kerana ia akan datang pada hari Qiyamat untuk membantu orang yang membacanya." ( Hadis Riwayat Muslim )

Marilah kita mempelajari ilmu Tajwid dan bertalaqqi al-Quran agar kita mendapat rahmat dari Allah di dunia dan akhirat. Wallahu a'lam.

الراجي للغفران الأبدي داهم بن جلال الأندنوسي
5.5.2010




Rukun Bacaan Al-Quran

Bacaan al-Quran yang sahih hendaklah memenuhi tiga rukun bacaan;

1. Sah Sanad
2. Bacaan hendaklah bertepatan dengan Rasm al-'Uthmaniy
3. Bacaan hendaklah bertepatan dengan kaedah ilmu nahwu

Huraian

Bacaan al-Quran mestilah dipelajari secara bertalaqqi dan musyafahah dari guru yang sanadnya bersambung kepada Rasulullah s.a.w. Ini merupakan rukun yang paling penting dan utama kerana bacaan al-Quran adalah sunnah yang mesti diikuti.

Sanad bermaksud sandaran, manakala sanad qiraat al-Quran ialah bacaan al-Quran yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w yang diterima dari mulut Rasulullah s.a.w oleh para sahabat yang kemudian diajarkan kepada orang lain. Begitulah seterusnya bacaan al-Quran diterima melalui proses pemindahan dari seorang kepada seorang hingga sampai kepada kita. Alhamdulillah, Allah mentakdirkan saya khatam 30 juz dua kali secara talaqqi dan musyafahah dari 2 orang guru al-Quran yang sanad mereka bersambung kepada Rasulullah s.a.w. Setakat ini saya baharu ada dua ijazah sanad bacaan al-Quran dan berazam akan menpelajari bacaan al-Quran dari guru al-Quran yang lain sama ada di Malaysia atau luar negara pada masa hadapan in sya Allah.

Bacaan al-Quran hendaklah bertepatan dengan kaedah Rasm al-'Uthmaniy. Alhamdulillah kita mudah mendapatkan mushaf Rasm al-'Uthmaniy di negara kita. Oleh itu, umat Islam hendaklah meneliti terlebih dahulu sebelum membeli mushaf agar tidak membeli mushaf al-Quran Rasm al-Imla'i, Rasm al-Qiyasi atau al-Quran Majid. Sebagai panduan ringkas, lihat ejaan الرحيم dalam Basmalah atau ayat ke-3 surah al-Fatihah, jika tidak ada tanda sukun ( tanda mati ) di atas huruf Ya, maka ia adalah kaedah Rasm al-'Uthmani. Jika ada tanda sukun di atas huruf Ya, maka ia bukan mushaf Rasm al-'Uthmaniy. Atau lihat kepada ejaan ملك di awal ayat ke-4 surah al-Fatihah, jika ia dieja ملك tanpa huruf Alif, maka ia al-Quran Rasm al-'Uthamaniy, dan bukan Rasm al-'Uthmaniy jika dieja dengan Alif iaitu مالك .

Syukur kepada Allah, mushaf al-Quran yang ada sekarang ini sudah sukup lengkap dengan tanda baris, tanda waqaf dan simbol-simbol tertentu untuk bacaan khas sebagai panduan umat Islam membaca al-Quran. Namun demikian, kita wajib mempelajari ilmu tajwid agar kita tidak melanggar hukum hakam tajwid, waqf dan ibtida'. Oleh sebab itulah, bacaan al-Quran yang sahih itu mesti betul dari sudut ilmu nahwu ( bukan nahu ) Arab. Sebaik-baiknya kita hendaklah mempelajari asas Bahasa Arab sebab ia berguna kepada kita khususnya untuk memahami makna ayat al-Quran yang kita baca.

Bacaan al-Quran yang tidak memenuhi tiga rukun di atas tidak dikira sebagai bacaan al-Quran yang betul tetapi dikira bacaan Syazz meskipun ia terdapat dalam imam qiraat yang tujuh. Demikianlah kata imam Ibnu al-jazari rahimahullah. Anda boleh mendapati keterangan tentang rukun bacaan ini di dalam kitab-kitab tajwid yang muktabar antaranya kitab Ghayah al-Murid fi 'ilm al-Tajwid di halaman 16-17 oleh al-Syaikh 'Athiyah Qabil Nasir beliau adalah salah seorang syaikh di dalam sanad ijazah saya ( iaitu guru syaikh kami al-Marhum Syaikh Ridha bin Salim al-Muqri' rahimahullah ), atau kitab Qiraat al-Quran biriwayat Hafsh bin Sulayman di halaman 12 oleh al-Syaikh Muhammad 'Atha Allah 'Ayis Nabhan rahimahullah. Wallahu a'lam.

Isnin, 3 Mei 2010

Rukun Ilmu Tajwid

Ilmu Tajwid ada empat rukun;

1. Mengetahui semua makhraj huruf hijaiyyah
2. Mengetahui semua sifat huruf hijaiyyah
3. Membezakan hukum-hukum bacaan ketika huruf-huruf tersusun menjadi kalimah seperti kadar ghunnah, tafkhim dan tarqiq.
4. Melatih lidah dan banyak mengulang-ulangi bacaan al-Quran

Rukun keempat adalah rukun yang terpenting setelah mengetahui makhraj dan sifat huruf supaya kemahiran melafazkan huruf-huruf al-Quran dengan betul dan fasih dapat dibina dalam diri seseorang.

Namun demikian kemahiran ilmu tajwid bukan sekadar menghafal hukum hakam tajwid yang termaktub di dalam buku atau kitab tetapi ia haruslah diambil secara berguru melalui kaedah talaqqi dan musyafahah. Sesungguhnya mereka yang mengambil ilmu dari kitab atau buku semata-mata tanpa guru, maka ilmunya di sisi para ulama adalah seumpama tidak wujud. Oleh sebab itulah, kita hendaklah mempelajari ilmu bacaan al-Quran dan tajwid dari guru yang bersambung sanad mereka sampai kepada Rasulullah s.a.w.

Keterangan di atas adalah dirujuk kepada kitab Muzakkarah fi al-Tajwid, Muhammad Nabhan bin Husain Mishriy, terbitan al-Maktab al-Islamiy, cetakan ke -11 ( 1996 ) halaman 7. Jika anda ada pertanyaan tentang perkara di atas, bertanyalah kepada guru-guru agama atau ustaz di tempat anda. Wallahu a'lam.

Selasa 4 Mei 2010